BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 25 April 2011

Mengapa Arab Madinah lebih mudah menerima wahyu Allah

Assalamualaikum
Saya tertarik untuk memulakan cerita sejarah ini berdasarkan soalan yang kerap saya terima daripada pelajar-pelajar saya. Persoalan masyarakat Arab Jahiliyyah sebelum ketibaan Islam sangat menarik untuk dikupas kerana sekiranya kita faham isu-isu pokok ini, kita juga akan faham kenapa dan mengapa umat Islam begini keadaannya sekarang.
'Islam itu datangnya berdagang, dan kembalinya juga dalam keadaan berdagang'. Selalu saya dengar ayat-ayat itu (hadith) dituturkan dari bibir penceramah di masjid-masjid. Bagi yang kurang faham dan kurang mendalam ilmunya, tentu tertanya-tanya bagaimana pula Islam berkait dengan perdagangan? Sesungguhnya Islam dipandang hina pada awal kemunculan dan penyebarannya. Begitulah juga pada penghujung dunia.
Mari kita leraikan satu persatu persoalan ini. Fokus utama saya adalah masyarakat Arab yang berada di Mekah dan Madinah. Masyarakat Mekah terdiri daripada kaum Quraisy yang menguasai Mekah pada waktu itu. Kaum ini dinasabkan kepada Qusai bin Qilab, penguasa bandar Mekah. Walaupun begitu, terdapat kaum arab lain yang mendiami Mekah, yang terdiri daripada Arab Badwi dan Hadari. Kaum Quraisy ini pula bersuku-suku. Suku bani Hasyim umpamanya antara yang paling berpengaruh di sana. Selain itu terdapat juga bani Adi, Bani Umayyah, Bani Tamim dan lain-lain. (sekadar menyebut beberapa). Kaum Arab ini memang suka hidup dalam kelompok kabilah mereka sendiri dan hanya patuh dan taat pada syeikh kabilah mereka sahaja. Mereka juga dipengaruhi oleh semangat assabiyah yang kuat sehingga sanggup berperang selama puluhan tahun lamanya dalam perang al-Basus. Masyarakat Mekah ini dikenali sebagai masyarakat jahiliyyah kerana tidak menyembah Tuhan yang Esa (Allah), sebaliknya mengamalkan animisme. Mereka juga tidak berakhlak mulia kerana terlibat dalam riba, memeras ugut, merompak, zina, minum arak, judi dan sebagainya.
Masyarakat Arab Madinah pula berbeza situasinya. Walaupun mereka juga mengamalkan ajaran nenek moyang dan berpegang kepada animisme, serta berakhlak dengan akhlak yang buruk seperti masyarakat Arab Mekah, mereka merupakan kaum minoriti di bumi Madinah. Kaum Arab suku Aus dan Khazraj sering ditindas oleh suku kaum Yahudi yang terkenal, Quraizah, Qainuqa', dan lain-lain. Keadaan ini menjadikan mereka tidak seselesa Quraisy di Mekah. Walau bagaimanapun, arab tetaplah arab. Mereka cenderung untuk berperang sesama sendiri dan memilih untuk memihak kepada Yahudi, walaupun sedar bahawa Yahudi terkenal dengan kelicikan dan kezalimannya. (melakukan penindasan ekonomi dan lain -lain)
Sesuatu yang harus dipelajari ialah, kekalutan dan penindasan itu membawa kepada berilmunya orang-orang Arab Madinah ini. Suku Aus, misalnya, yang selama ini menganut ajaran animisme telah dibawa merujuk kitab-kitab kaum Yahudi. Pergaulan antara mereka menyebabkan orang-orang Arab Madinah mengetahui akan datangnya seorang rasul 'Muhammad s.a.w'. Yahudi mendakwa bahawa nabi baru mereka itu akan datang untuk membawa mereka ke arah kesejahteraan, tanpa menyedari bahawa pesuruh yang dimaksudkan dalam Taurat itu bukanlah dari keturunan Bani Israel sepertimana yang biasa berlaku.
Sekiranya pembaca menyelusuri sirah Nabi Muhammad s.a.w, pernah diriwayatkan nabi kita dalam perjalanan pulangnya dari berniaga bersama-sama bapa saudaranya, Abu Talib, telah ditegur oleh pendeta Nasrani yang bernama Buhaira supaya pakciknya itu segera membawanya pulang, dikhuatiri akan diketahui oleh orang-orang Yahudi, lantas dibunuh mereka. Ini kerana pendeta itu dapat melihat tanda-tanda kerasulan pada baginda, seperti awan yang sentiasa mengikuti rasulullah walaupun dalam panas terik. Tanda-tanda kerasulan yang terdapat pada seorang Arab Quraisy ini sangat luar biasa. Tidak pernah terjadi dalam sejarah. Ini adalah kerana lebih separuh daripada para rasul datangnya dari Bani Israel, berketurunan nabi Yaakub Alaihissalam yang berbapakan nabi Allah Ibrahim. Sedang kaum Yahudi ini datangnya dari serpihan Bani Israel inilah. Itulah sebabnya mengapa mereka sangat takbur dan bongkak dengan asal usul keturunan mereka yang mulia, yakni berketurunan para nabi.
Justeru, melalui kitab-kitab terdahulu, iaitu Taurat yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam, kaum Yahudi sedang ternanti-nanti nabi yang akhir ini, nabi penutup zaman. Oleh kerana suku Aus dan Khazraj bergaul bersama Yahudi-yahudi ini di Madinah, mereka telah terlebih dahulu mengetahui akan kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. Maka tidak hairanlah apabila mereka sanggup turun ke Mekah pada musim perniagaan untuk berjumpa dan bertaat setia kepada baginda dalam Perjanjian Aqabah 1 dan Aqabah 2.
Sebaliknya, kaum musyrikin Mekah masih lagi ego dan berada dalam kesesatan. Padahal, jika diukur, mereka sebenarnya lebih dekat dengan Rasulullah dan mempunyai pertalian darah dengan baginda. Dakwah secara sulit selama tiga tahun cukup untuk memperlihatkan betapa baginda dimusuhi, dihina dan diancam dengan berbagai-bagai ancaman oleh kaum sendiri. Hal yang demikian itu akhirnya membuatkan turunnya ayat dalam surah al- Hijr yang memerintahkan baginda dan para sahabat lainnya supaya berhijrah ke Madinah.
Pembaca yang budiman, sepintas lalu, peristiwa yang saya ceritakan mungkin pernah didengar dan dibaca di mana-mana, terutamanya pada bulan-bulan sambutan maal hijrah. Ceritanya masuk dan keluar melalui telinga kanan dan kiri, tanpa ada sebarang pautan pada hati nurani. Barangkali ada yang bisa memberikan ceramahnya sendiri! Namun antara sedar dengan tidak, inilah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Pernahkah ditanya mengapa sangat sukar berdakwah kepada anak bangsa dan seagama sendiri? Mengapa lebih senang mengajak dan mengajar saudara baru berbanding kita yang dilahirkan dalam keadaan semulajadinya muslim? Barangkali inilah tempias kecil cabaran yang dihadapi oleh rasulullah s.a.w. pada zaman awal dakwah Islamiyyah baginda. Saya sendiri merasakan agak sukar untuk melakukan itu, walhal berada dalam bidang pendidikan dan disokong oleh peralatan canggih dan moden, tidak perlu sembunyi-sembunyi.
Sangat sedih untuk melihat anak-anak muda kini berada dalam zaman jahiliyyah sama seperti atau pada pandangan peribadi saya lebih teruk lagi daripada zaman jahiliyyah itu sendiri. Manakan tidak, manusia zaman jahiliyyah membunuh dan menanam hidup-hidup hanya anak-anak perempuan sahaja. Sedang kita? Anak lelaki atau perempuan sama saja. Asal lahir dari hubungan yang haram, bunuh saja. Lebih teruk, belum sempat lahir ke dunia sudah digugurkan. Masyaallah. Itu hanya contoh kecil yang mampu dibawakan. Boleh jadi pembaca pernah mendengar sesuatu yang lebih dahsyat lagi. Maka saya semakin yakin bahawa akan hampir tiba masanya untuk Islam pulang berdagang. kalaulah kita masih bernabi??? Tinggalan mukjizat baginda pun sudah jarang-jarang kedengaran kini.
Dimanakah para ulama' kita sekarang ini? Semakin diseksakah mereka itu? Menerima ancaman apakah mereka itu? semuanya sedang bermain dalam kotak fikiran saya. Dimana mereka yang bergelar ulama? Tidak takutkah mereka mempunyai anak bangsa Islam yang lebih jahil dari zaman jahiliyyah? Tanpa sebarang sekatan dan ancaman, mereka yang bergelar ulama selesa duduk di rumah dan bergoyang kaki menerima arahan pemimpin duniawi. Ya Allah jauhkanlah kami dari ulama-ulama palsu ini. Rasa-rasanya molek benar kalau dapat dipertimbangkan sub tajuk baru dalam sukatan pelajaran sejarah dengan tajuk ' masyarakat jahiliyyah moden'. Biar terbuka mata ulama dan masyarakat lainnya bahawa sekarang ini pun kita berada pada zaman jahil dalam cerdik.
Harapan saya, belajar sejarah, untuk mengubah sejarah. Paling tidakpun, sejarah hidup dan keluarga saya sendiri. Semoga masih berkesempatan berbuat sesuatu untuk meneruskan syiar Islam ini. Wallahu a'lam bissowab.

Jumaat, 22 April 2011

AKHIRNYA .......

Assalamualaikum,

Setelah banyak halangan yang menimpa dan tak dapat saya elakkan, akhirnya dapatlah juga saya merealisasikan blog ini kepada semua yang meminati dan menggilai sejarah. Pada awalnya blog yang saya rancang hanyalah untuk membantu para pelajar PraUniversiti, khususnya pelajar PraU SMKA Segamat. Namun setelah difikirkan secara mendalam, itu adalah satu kerugian. Saya mahu pergi lebih jauh dari itu. Apalah sangat ilmu yang ada untuk dititipkan kepada para pelajar PraU. Sebaliknya saya ingin berkongsi pendapat dan rasa dengan semua pembaca terutama fanatik dan berpengetahuan sejarah untuk sama-sama membantu pelajar-pelajar saya ini. Pembaca yang saya maksudkan bukanlah terdiri daripada para pelajar semata-mata tetapi juga saya ingin mengalu-alukan tenaga profesional untuk berkongsi ilmu. Kerana itulah saya menamakan blog ini sebagai 'sejarah : yang tersurat dan tersirat'.

Kerap kali kita disogokkan dengan fakta-fakta sejarah dan anak-anak pelajar cenderung untuk melihat sejarah sebagai mata pelajaran mati dan membosankan. Fakta-fakta yang banyak dan hampir sama, menyebabkan tidak ramai yang dapat menguasai ilmu sejarah sepenuhnya. Tidak dinafikan rata-rata pelajar saya 'menghafal sejarah' secara membuta tuli. Mereka mungkin cemerlang di atas kertas peperiksaan awam tetapi hakikatnya ilmu sejarah yang dipelajari itu tidak sedikit pun dapat digunakan untuk meramal masa depan negara. Adalah satu kerugian sekiranya perkara seperti itu berlaku.

Oleh itu, saya mengharapkan dengan adanya blog ini, pelajar-pelajar cemerlang sejarah akan dapat dibimbing secara perkongsian ilmu, untuk diajarkan skill meramal dan mengaplikasi sejarah dalam kehidupan seharian. Untuk itu, saya menyeru supaya dapatlah disokong blog saya ini supaya dapat melahirkan pelajar yang celik sejarahnya supaya kita tidak mengulang sejarah hitam bangsa dan negara. Insyaallah